Tiada Alasan, Yang Ada Hanyalah Kemahuan
Blog ini seakan terlalu usang untuk dibiarkan. Sekali lagi saya terpaksa akur dengan segala macam keterbatasan. Faktor internet menjadi satu penghalang yang cukup kronik untuk merealisasikan blog ini siap dengan sempurnanya. Penggunaan internet di pejabat untuk tujuan peribadi sebegini adalah sesuatu yang dirasakan janggal dan tidak betul.
Perkembangan ini telah melonjakkan semangat saya untuk mengumpulkan segala wahana yang ada untuk proses renovasi dan pembaikan blog ini. Program photoshop yang telah lama tidak terusik menjadi aktif semula dan aktiviti mencorak grafik-grafik blog seakan menjadi rancak. Selama beberapa hari ini juga, waktu malam saya menjadi semakin singkat untuk aktiviti tidur kerana saya berazam juga untuk menyiapkan semua kerja-kerja pembikinan ini.
Saya perlu bermula. Jikalau tidak sekarang bila lagi. Segala macam alasan telah saya berikan untuk penangguhan sejak sekian lama ini. Saya mesti mulakannya sekarang. Tiada lagi alasan…. Yang ada hanyalah kemahuan.
Untuk pengunjung-pengunung sekelian, selamat datang dan salam perkenalan saya ucapkan.




