KWAP : Kumpulan Wang Persaraan

 

Akta Kumpulan Wang Amanah Pencen 1991 (Akta 454) telah digubal dengan tujuan utama bagi menubuhkan satu dana untuk membantu Kerajaan Persekutuan membiayai liabiliti pencen. Berikutan itu, Kumpulan Wang Amanah Pencen telah ditubuhkan pada 1 Jun 1991 dengan geran penubuhan sebanyak RM500 juta dari Kerajaan Persekutuan dan diuruskan oleh Bahagian Kumpulan Wang Amanah Pencen di bawah pengawasan Jabatan Akauntan Negara, Kementerian Kewangan Malaysia.

Dalam ucapan Bajet 2006, YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia telah mengumumkan penukaran status Kumpulan Wang Amanah Pencen di bawah Jabatan Akauntan Negara Malaysia  kepada sebuah badan berkanun yang dikenali sebagai  Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP). Penukaran status ini membolehkan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP)  menentukan skim perkhidmatannya, serta mempunyai fleksibiliti untuk merancang dan mengurus tenaga kerjanya agar Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) bertindak lebih responsif dan dinamik untuk menghadapi cabaran pasaran kewangan domestik dan luar negara.

Pada 1 Mac 2007, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) ditubuhkan di bawah Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 (Akta 662) dengan pemansuhan Akta Kumpulan Wang Amanah Pencen 1991 (Akta 454). Dengan penubuhan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), semua fungsi, aktiviti, dana, aset dan liabiliti Kumpulan Wang Amanah Pencen diambilalih sepenuhnya oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan). Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) mengekalkan akronim “KWAP”.

Untuk maklumat lanjut, sila layari http://www.kwap.gov.my 

 

Leave a Reply